Apr 17, 2012

SUKSES!!



Anda mahu sukses?

Macam mana ye nak menjadi sukses?

Kena beli buku "How To Be Successful In Life" ke?

(Kalau nak, beli kat sini)

Oppsss, nanti! Jangan beli dulu!

Sebelum tu, mari kita rujuk balik buku yang paling "authoritative" sekali mengenai topik ini. Al-Qur'an Al-Karim, bukan? Apa yang Al-Qur'an cakap mengenai ciri-ciri orang sukses ni?

Kita bukak Qur'an, kita lihat balik Surah Al-Mu'minun..

Bismillahirrahmanirrahim..

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman;

Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya;

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;

Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);

Dan mereka yang menjaga kehormatannya,

Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela:

Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

Dan mereka yang tetap memelihara solatnya;


Ok dah, kita analisa balik apa yang kita baca: macamana hendak menjadi orang yang sukses!

Kalau kita baca sekali lalu pun, kita boleh tengok ayat-ayat ini menggambarkan ciri-ciri seorang muslim yang sukses, kan? Jadi, apa kita kena buat? Kita kena la cuba untuk buat perkara-perkara yang mendekatkan kita dengan ciri-ciri yang Allah s.w.t sebutkan ini, betul tak?

Kita tengok ayat yang pertama:

"Sesungguhnya, berjayalah orang yang beriman" [23:1]

Pertama sekali, Allah s.w.t dah berkata, orang yang beriman itu akan sukses! Tapi Allah s.w.t tak berhenti situ saja. Tak semua orang yang beriman itu sama, kan? Apakah ciri-ciri orang beriman, yang sukses ni?

Mari kita sambung terjemahan ayat yang kedua:

"Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya;" [23:2]

Whoa! Allah s.w.t dah bagitau kita, ciri PERTAMA orang beriman yang sukses ialah SOLAT YANG KHUSYU'!

Haa... Korang solat dengan khusyu' tak? Ke solat sambil lewa saja? Nak tahu tak, salah satu indicator solat khusyu' ialah, seseorang itu tahu dia sedang berada dalam raka'at yang keberapa. Kalau asyik tertanya-tanya, ni raka'at ketiga ke.. atau keempat ke..? Entah-entah dah lima raka'at dah? Besar kemungkinan, tak khusyu' lah tu.. hehe..

Salah satu kriteria nak khusyu' dalam solat ialah, kita kena tahu apa yang kita cakapkan. Jom kita tengok salah satu do'a yang teramat best dalam solat - Do'a duduk antara dua sujud.

1. Rabbighfirli.. (Wahai Tuhanku.. Ampunilah dosaku..)

Cuba kita baca ni dengan penuh rendah diri.. ingat balik dosa-dosa yang kita dah lakukan; yang kita buat dengan sengaja atau tak; yang kita buat sambil lewa atau dengan bersungguh-sungguh.. dan kita betul-betul nak bertaubat - taubatan nasuha..

2. Warhamni.. (Sayangilah aku..)

Bila baca do'a ini, rasakan bahawa kita ini sangat dekat dengan Allah s.w.t.. amat-amat mengharap agar Allah s.w.t menyayangi kita.

Love me, Allah.. Love me..

3. Wajburnii.. (Cukupkanlah aku..)

Pintalah pada Allah s.w.t, agar keperluan kita dicukupkan. Kita ni kan serba kekurangan. Penuh dengan cacat-cela, tubuh badan yang kadang-kadang sakit, fikiran yang selalu bercelaru, akhlaq yang compang-camping; Iman yang lemah.. Dalam solatlah kita merayu pada Allah s.w.t agar semua kekurangan kita dicukupkan.

Satu kisah dizaman Tabi'it Tabi'in dulu, ada seorang syeikh yang selalu perasan ada salah seorang ahli jemaah Masjid selepas solat, akan terus balik. Lalu syeikh ni pun menasihati si fulan ni, "Apakah kamu tak nak apa-apa dari Allah? Bahkan sampai garam pun aku akan minta kepada Allah!"

Subhanallah! Jangan kita lalai untuk selalu minta kepada Allah s.w.t!

4. Warfa'nii.. (Angkatlah darjatku..)

Pinta kepada Allah s.w.t agar darjat kita diangkatNya dan kita dimuliakanNya. Bukan sahaja dimata manusia, tapi disisi Allah sw.t. juga.

5. Warzuqnii.. (Berilah aku rezeki..)

Mohonlah pada ArRazzaq (yang Maha Pemberi Rezeki) agar kita diberi rezeki yang halal. Allah s.w.t sentiasa memberi rezeki kepada hamba-hambaNya yang suka berusaha, tetapi halal atau haram adalah pilihan kita.

Rezeki yang halal bukan sahaja terhad kepada duit dan harta. Konsep rezeki amat luas. Keupayaan kita untuk makan, minum, berjalan, bernafas.. hatta sekecil-kecil ni'mat seperti menggerakkan kelopak mata juga adalah rezeki dari Allah s.w.t. Nah, kalau Allah s.w.t tarik balik rezeki yang kita selalu abaikan ni, apa akan jadi?

6. Wahdinii.. (Bimbinglah aku..)

ya Al-Hadi.. (Wahai Maha Pemberi Petunjuk)..
Ihdinas siratal mustaqiim.. (Bimbinglah kami ke jalan yang lurus..)

Merayulah kepada Allah agar kita sentiasa dibimbing, diberi petunjuk ke jalan yang lurus. Kerana hidayah Allah itu hanya diberi kepada sesiapa yang Allah kehendaki sahaja.

Pilihlah aku, ya Allah. Letakkanlah aku, dan istiqamahkan aku di jalan yang Engkau redhai..

7. Wa'afinii.. (Sihatkanlah aku...)

Allah s.w.t itu Maha Pemberi Rezeki, tetapi kalau kita tak sihat, macam mana kita nak menikmati rezeki yang Allah bagi? Jujurlah pada diri sendiri, dengan umur kita yang sedikit ini, seberapa banyak kebaikan yang kita telah buat? Kalau kita sakit, amat susah untuk kita menabung untuk akhirat, bukan? Dua ni'mat yang orang selalu tertipu ialah, nikmat lapang dan nikmat sihat. Berdo'a agar kita sentiasa sihat, kerana kesihatan yang kita ada sekarang ni bila-bila masa sahaja Allah s.w.t boleh tarik balik.

8. Wa'fuannii.. (Maafkanlah aku...)

Sama seperti pembukaan do'a ini, kita meminta Allah s.w.t untuk memaafkan balik segala kesalahan yang kita dah lakukan. Bahkan, bukan sahaja kesalahan-kesalahan yang lalu, tapi juga kesalahan-kesalahan kita di masa hadapan, inshaAllah.

Kalau kita lihat, do'a ni boleh di baca dalam 10 saat je, kan? Tapi lepas ni, bila kita baca balik do'a ni, cuba kita betul-betul menghayati dan merenungi maknanya. InsyaAllah, solat kita akan lebih khusyu'.

Dan kalau solat kita dah istiqamah dalam khusyu'nya, tu apa ciri-ciri lain untuk terus sukses?

"Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;" [23:3]

Hmm.. orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan DAN perkataan yang sia-sia? Orang yang macam mana ni ya? Dalam ayat ini kalau dibaca sebenarnya ada makna yang tersirat. Orang yang seperti ini ialah orang yang.. produktif!

Ciri KEDUA bagaimana menjadi sukses ialah menjadi orang yang PRODUKTIF!

Orang yang produktif ialah apabila setiap kata-katanya tidak sia-sia, lalu setiap ucapannya juga akan terjaga. Dia hanya mengatakan yang baik, tak mengumpat (ghibah) orang lain; malah setiap pekerjaannya membawa manfaat kepada orang ramai. Dia bekerja bersungguh-sungguh, dan tidak mensia-siakan waktu. Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengingatkan, "Sebaik-baik muslim adalah yang paling bermanfaat kepada orang yang lain", bukan? :)

Apa akan terjadi kalau seseorang itu produktif dalam perkataan dan pekerjaanya? InsyaAllah dia akan juga produktif dalam hal ehwal hartanya! Orang seperti ini tidak akan lupa untuk menunaikan kewajiban zakat.

"Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);" [23:4]

Ciri KETIGA bagaimana menjadi sukses ialah dengan MEMBAYAR ZAKAT.

Apa kaitan sukses dengan bayar zakat? Dengan membayar zakat, kita dapat membersihkan harta-harta kita. Kalau kita perhatikan, amat sukar untuk kita dapat lari daripada riba'. Zakatlah yang akan dapat menyucikan harta-harta kita dan dapat memberi berkat kepada wang ringgit yang kita pakai; dan sekaligus akan memastikan sukses kita ini akan terus menerus, insyaAllah.

Lalu apa lagi ciri-ciri orang yang sukses?

"Dan mereka yang menjaga kehormatannya" [23:5]

Kesuksesan harta juga sepatutnya tidak membuatkan sesorang itu lupa sehingga menuruti hawa nafsunya. Dia MENJAGA KEHORMATANNYA, tidak menyalahgunakan hartanya untuk bermaksiat atau berzina (ayat 5-7).  Bagaimana seseorang itu boleh sukses kalau maruah dan kehormatannya tergadai?

Lalu apa lagi ciri-ciri orang yang sukses?

"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;" [23:8]

Muslim yang sukses juga mampu MENUNAIKAN SETIAP AMANAH DAN JANJI yang diberikan kepadanya. Setiap amanah yang diambil, dia tidak akan mungkiri. Setiap janji yang diucapkan, dia akan tepati.

Dan ciri yang terakhir, Allah s.w.t menutupnya dengan:

"Dan mereka yang tetap memelihara solatnya;" [23:9]

Maksudnya, setiap orang muslim yang sukses, kemudian mendapat rezeki harta yang melimpah ruah, dia TIDAK AKAN MELUPAKAN SOLATNYA. Solatnya mesti terpelihara dengan khusyu', agar setiap sukses yang dimiliki akan berlanjutan dan terus menerus, insyaAllah.


Lalu, kalau kita buat semua ini, apa yang kita akan dapat?

(Al-Mu'minun, ayat 10-11)

Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi;

Yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

ALLAHU AKBAR! Sudahlah kita mendapat sukses di dunia, lalu di akhirat pula kita akan mewarisi Syurga Firdaus. Tak mahu kah kita mewarisi Syurga Firdaus? ;)




*artikel diolah dari tulisan Ust. Ahmad Arqom, SPd [TazkiyatunNafs]

No comments: